Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hampir kesemua penduduk Islam Rohingya yang dirawat di Bangladesh menderita akibat terkena tembakan atau serpihan letupan bom dengan satu pertiga daripada mereka adalah remaja atau kanak-kanak.
Jumlah itu mewakili lebih 250,000 atau suku juta penduduk Rohingya berdasarkan perangkaan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bertindak mendapatkan pelindungan di negara jiran Myanmar sejak tahun lalu.
Bagi tempoh dua minggu lalu sahaja, seramai 164,000 memasuki Bangladesh untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar dan juga golongan pelampau agama Buddha.
Menurut Mohammed Idrees, 10, yang dirawat di Hospital Kolej Perubatan Chittagong apabila cuping telinga kirinya hampir putus selepas ditembusi peluru yang ditembak oleh tentera Myanmar, beliau tidak akan kembali ke kampung halamannya di Rakhine sehingga keamanan dipulihkan.
Idrees merupakan antara 60 penduduk Rohingya yang terpaksa dirawat di hospital selepas keganasan terbaharu tercetus di Rakhine, barat laut Myanmar sejak penghujung bulan Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, portal RFA melaporkan, pegawai tertinggi Myanmar kini mengadakan perbincangan untuk mengukuh dan meningkatkan tahap keselamatan sempadannya dengan Bangladesh melalui peluasan kawasan yang dibina pagar.
Pihak keselamatan Myanmar juga sebelum ini dilaporkan telah menanam periuk api di kawasan sempadan negara itu dengan Bangladesh.
Dua orang sumber daripada pihak kerajaan di Bangladesh memberitahu Reuters pada hari Rabu bahawa pihak berkuasa Myanmar telah menanam periuk api di dalam wilayah mereka sendiri sepanjang tiga hari lepas.
"Pihak tentera kami menyaksikan bahawa sekitar tiga atau empat kumpulan bekerja berdekatan dengan kawat berduri dengan meletakkan sesuatu ke dalam tanah," kata salah seorang sumber yang bercakap tanpa mendedahkan identitinya.
Kedua-dua sumber yang memiliki maklumat langsung berhubung situasi tersebut berkata bahawa Myanmar mungkin menanam periuk api itu untuk mengelakkan etnik Rohingya daripada kembali semula ke tanah air mereka.
Akan tetapi, menurut mereka, para pelarian yang ingin meninggalkan negara itu turut terdedah kepada risiko yang sama memandangkan bahawa mereka mungkin akan menggunakan laluan yang sama. – AGENSI
9 September 2017 - 17:04
News ID: 853238
Hampir kesemua penduduk Islam Rohingya yang dirawat di Bangladesh menderita akibat terkena tembakan atau serpihan letupan bom dengan satu pertiga daripada mereka adalah remaja atau kanak-kanak.